MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

BENARKAH UMNo BOLEH MENYELAMATKAN MELAYU SEPERTI YANG DIDAKWA OLEH PRESIDENNYA SEMALAM?

Tok Misai

Ketahuilah bahawa sesiapa yang menyangka dan mengharapkan bangsa Melayu akan selamat di dunia dan akhirat jika dia menyokong UMNO telah melakukan  satu dosa syirik yang amat besar. 

Perbuatan ini sesungguhnya akan mengesahkan saja bahawa UMNO itu adalah satu berhala yang kononnya berupaya memberi manfaat dan mudharat kepada orang ramai. Bukankah Allah dan Rasul-Nya telah menegaskan dengan jelas bahawa hanya orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Allah dan mengikut petunjuk-Nya sahajalah yang akan selamat? Kenapakah kita dengan begitu bangang dan sombong pula mahu memilih yang lain daripada ketetapan ini? 

[Al-An’aam (6) : 54] “Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami itu datang kepadamu, maka katakanlah : ‘Mudah-mudahan kamu selamat dan beroleh kesejahteraan.’” 

[Taha (20) : 47] “……Dan selamat sejahtera itu hanyalah dilimpahkan bagi orang-orang yang mengikut petunjuk Allah” 

Seterusnya, perintah bagi manusia supaya beriman kepada ayat-ayat Allah adalah sama juga dengan perintah Allah yang menuntut kita supaya menerima dan memasuki Islam dengan sepenuh-penuhnya dan bukannnya secara separuh-paruh sahaja. Hukum kafir akan jatuh ke atas kita jika kita menerima Islam hanya pada apa yang sesuai dengan kehendak kita dan mengingkari apa yang tidak selari dengan nafsu kita. 

[Al-Baqarah (2) : 208] “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.” 

[Al-Baqarah (2) : 85] “Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian dari isi Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika di dunia. Dan pada hari kiamat nanti akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Ingatlah, Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu lakukan.” 

Lanjutan dari ini, Rasulullah juga telah bersabda semasa Hajjatul Wada’-nya seperti berikut : “Sesungguhnya aku hanya meninggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu mahu selamat dan tidak sesat di dunia dan di akhirat, iaitu Al-Quran dan Sunnahku. Barang siapa yang memegang teguh kepada kedua-dua ini pasti akan selamat, manakala barang siapa yang meninggalkannya pula pasti akan sesat.” 

Wahai orang-orang Melayu! Bangunlah kamu semua dari mimpi dan lamunan kamu. Sedar dan insaflah bahawa UMNO tidak akan berupaya menyelamatkan kamu walau sedikit pun. Bahkan UMNO hanya akan menyesatkan kamu dari jalan Allah yang lurus itu. Dasar, matlamat dan kaedah perjuangan UMNO tidak langsung menepati apa yang telah diajar oleh Allah dan Rasul-Nya kepada manusia yang bercita-cita untuk memperolehi keselamatan, kesejahteraan dan rahmat Allah. 

Kalau benar UMNO boleh selamatkan orang Melayu, suruhlah mereka selamatkan berpuluh-puluh ribu orang-orang Melayu yang telah murtad itu terlebih dahulu. Jika ini pun mereka tidak mampu lakukan, mana logiknya yang mereka katakan bahawa mereka mampu menyelamatkan bangsa Melayu? 

Kalau benar UMNO mahu menyelamatkan orang Melayu, suruhlah kembali kepada ajaran Islam yang mewajibkan umatnya melakukan amar maaruf nahi mungkar dan berjuang untuk menegakkan syariat Allah sebagai dasar perjuangan mereka terlebih dahulu. Dan suruhlah mereka sandarkan segala-gala tindak-tanduk dan perancangan mereka kepada Al-Quran dan As-Sunnah terlebih dahulu, dan bukannya menghalang perlaksanaan hukum-hukum dan syariat Allah seperti apa yang mereka lakukan selama ini. 

Selagi ini semua tidak mampu dilakukan oleh mereka, sedarlah bahawa UMNO tidak akan sekali-kali dapat membantu untuk menyelamatkan orang-orang Melayu sampai bila-bila pun. Malah mereka akan hanya menyesatkan saja orang Melayu dari memperolehi rahmat Allah dengan mengajak kita menganuti fahaman syirik dan songsang mereka itu. 

Selamatkan diri kamu wahai orang-orang Melayu. Tinggalkanlah berhala yang bernama UMNO itu! Kembalilah kepada Islam yang syumul. 

12 Mei 2000.

 counter.bloke.com